dulu
kita sama-sama bertatih
menyeduk kenangan waktu hingusan
berlari dengan cawat
rebah dipinggir lumpur
melompat dikotak teng-teng
rebutkan helaian upih
menggelongsor di lereng tanah
waktu itu kita tak pernah kisah
walau tak berwang
kangkung tumbuh sebendang
padi cukup walau segantang
kini
anak-anak kita sama bertatih
meneroka zaman hingusan
menari dijalanan
memecut hingga ke angka 180
rebutkan permainan video
namun kita tak pernah kisah
kerana wang datang dengan senang
walau ikut pintu belakang
asalkan beralas perut sampai kenyang
nanti
sempatkah anak-anak kita bertatih?
sempatkah merasa zaman hingusan?
kerana dunia diamuk dengan senapang
langit penuh dengan lalat besi
melepas telur maut
masing-masing mahu tunjuk kuat
mahu tayang hebat
walau wang tinggi mengganag
jika kau lemah
pasti kau rebah.